Gemilang RADIO

Pengenalan

Radio Amatur merupakan salah satu cabang aktiviti utama di dalam Persatuan GEMILANG Daerah Tutong.

Ianya merupakan salah satu bidang aktiviti berbentuk perhubungan radio telekomunikasi melalui ruang udara dan perhubungan di buat dalam bentuk HOBI bagi tujuan perhubungan, latihan dan kajian dalam aspek radio komunikasi, di samping mengujudkan suasana persefahaman, hormat menghormati dan saling bantu-membantu di dalam memperkembangkan pengetahuan dan pembelajaran di dalam bidang radio komunikasi baik dari dalam mahupun luar negeri.
Pengendali aktiviti Radio Amatur di Negara Brunei Darussalam adalah tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh “Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi, Negara Brunei Darussalam / Authority for Info-Communications Technology Industry, Brunei Darussalam – (AiTi)” yang mana setiap pengguna dimestikan mempunyai lesen yang sah yang dikeluarkan oleh pihak berkenaan dengan terlebih dahulu menduduki Peperiksaan Bertulis (RAE) yang diselenggarakan oleh pihak AiTi.

Sejarah

Aktiviti Radio Amatur telah dipelopori di Negara Brunei Darussalam seawal Tahun 1943 (sebelum perang dunia ke-2) dan aktiviti ini masih terus diminati walaupun amat perlahan. Manakala aktiviti Radio Amatur di dalam Persatuan GEMILANG Daerah Tutong telah bermula sejak awal penubuhannya pada 28 Rejab 1425 / 28 September, 2004.

Matlamat / Objektif

· Berpandukan kepada tujuan dan matlamat asal Radio Amatur iaitu satu hobi yang berbentuk saintifik untuk tujuan perhubungan, latihan dan kajian dalam aspek radio komunikasi demi mengujudkan suasana persefahaman, hormat-menghormati dan saling bantu-membantu di dalam sama-sama memperkembangkan pengetahuan dan pembelajaran di dalam bidang Radio Komunikasi baik di peringkat ahli Persatuan GEMILANG sendiri, mahupun di peringkat Nasional, Serantau dan Anatarabangsa, selain ianya BUKAN untuk kegunaan :-
- Persendirian
- Perniagaan / Komersial (untuk mencari wang / mendapat keuntungan)
- Menyentuh hal-hal peribadi
- Berpolitik
- Menganggu keselamatan Negara
- dan lain-lain …

· Mengiatkan aktiviti-aktiviti Radio Amatur di kalangan ahli-ahli Persatuan GEMILANG.

· Memberikan bantuan Perhubungan Radio kepada aktiviti-aktiviti yang dianjurkan / dikendalikan oleh Persatuan GEMILANG.

· Memberi dorongan dan sumbangan kepada perkembangan Radio Amatur di Negara Brunei Darussalam.

· Memberi perkhidmatan kepada masyarakat dengan memberikan bantuan Perhubungan Radio kepada mana-mana agensi yang memerlukan baik semasa aman mahupun semasa gawat/kecemasan.

· Mewujudkan warga Radio Amatur yang berkebolehan di dalam aspek komunikasi di udara dan teknikal.

· Mengeratkan hubungan silatulrahim, sefahaman dan bersatupadu di kalangan Warga Gemilang RADIO sendiri dan juga di kalangan pengiat aktiviti Radio Amatur di Negara Brunei Darussalam serta di peringkat serantau dan antarabangsa.

Keahlian

Keahlian di dalam Gemilang RADIO adalah di kalangan ahli-ahli yang berdaftar sebagai AHLI Persatuan GEMILANG Daerah Tutong yang mempunyai Lesen Radio Amatur yang sah yang di keluarkan oleh “Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi, Negara Brunei Darussalam (AiTi)”.

Walau bagaimanapun Gemilang RADIO sentiasa mengalu-alukan kemasukan ahli baru dengan memberi dorongan dan sumbangan kepada warga GEMILANG khususnya dan kepada peminat-peminat aktiviti ini (SWL) amnya yang belum mempunyai lesen Radio Amatur dengan mengadakan Kelas Radio Amatur sebelum menduduki peperiksaan Radio Amatur (RAE) yang dikendalikan oleh pihak AiTi.

Aktiviti-Aktiviti

· Memberikan bantuan berbentuk Perhubungan Radio kepada apa jua aktiviti yang dianjurkan / dikendalikan oleh Persatuan GEMILANG dan AJK-AJK lain di bawah Persatuan GEMILANG.

· Memberi sumbangan perkhidmatan kepada masyarakat dengan memberikan bantuan Perhubungan Radio kepada mana-mana agensi yang memerlukan bantuan perhubungan di dalam mengendalikan apa jua aktiviti yang di anjurkan oleh agensi berkenaan.

· Memberi bantuanan Perhubungan Radio jika diperlukan oleh pihak-pihak berkuasa kebangsaan (NDMC) di dalam menangani masalah / kejadian kecemasan (emergency respond) seperti aktiviti menyelamat, bencana alam dan lain-lain.

· Fox Hunting (sempena Hari Keputeraan KDYMM)

· Weekly 2 Meter Net (setiap hari Isnin - malam Selasa)

· Kelas Radio Amatur (sebelum Peperiksaan Radio Amatur - RAE)

· Kelab Radio Amatur Sekolah-Sekolah (Pilot Project)

· Sukan antara Stesen-Stesen Radio Amatur

· Lawatan & Expedisi (dalam & luar negeri)

Frekuensi

· Repeater 1 (V84RPG)
- 147.825 MHz (Rx) (Offset -0.6 MHz)
- 147.225 MHz (Tx)

· Repeater 2 (V84RGR)
- 147.675 MHz (Rx) (Offset -0.6 MHz)
- 147.075 MHz (Tx)

· Simplex 1 - 144.125 MHz

· Simplex 2 - 144.620 MHz

Penutup

Gemilang RADIO mempunyai misi kehadapan untuk melihat aktiviti Radio Amatur untuk terus kekal dan berterusan di dalam Persatuan GEMILANG khususnya dan di Negara Brunei Darussalam amnya.

Sedikit sebanyak aktiviti yang dianjurkan, dikendalikan dan diikuti oleh Gemilang RADIO turut sama menyumbang dalam sama-sama menaikkan nama Persatuan GEMILANG Daerah Tutong. Walaupun disedari dari sudut penyumbang kewangan ke tabung Persatuan GEMILANG tidak begitu ketara sekali, namun Gemilang RADIO berjaya menampilkan nama Persatuan GEMILANG ke satu tingkat yang boleh dikatakan istemewa, sebagai contoh:- Gemilang RADIO lebih dikenali dalam menerajui (pioneering) Foxhunting, Echolink, Kelas Radio (RAE) dan juga Net Gemilang.

Dalam satu aspek lagi, jika Gemilang RADIO berjaya mendapatkan sumber kewangan yang mencukupi untuk mendirikan “Repeater Gemilang RADIO”, ianya sudah pasti akan menjadi satu lagi mercu tanda kejayaan Persatuan GEMILANG dan ini akan menjadi sukat-sukat kemajuan serta didikasi ahli-ahli Persatuan GEMILANG dalam mengorak langkah kejayaan.

Satu lagi projek yang di cita-citakan oleh Gemilang RADIO sebagai salah satu “Pilot Project” adalah untuk mengujudkan Kelab Radio di Maktab-Maktab / Sekolah-Sekolah di seluruh negara. Jika projek ini berhasil dan berjaya diadakan ini membuktikan Persatuan GEMILANG amnya dan Gemilang RADIO khususnya telah dapat memainkan peranannya di dalam memberikan khidmat dan sumbangan kepada masyarakat khususnya kepada pelajar. Antara faedah kepada pelajar yang menyertai kelab itu nanti ahli mendapatkan lesen Radio Amatur, di samping dapat membantu pelajar menanam minat dalam bidang radio komunikasi dan apa jua yang berhubung kait dengan hobi ini.

Selain daripada itu Gemilang RADIO juga berhasrat untuk mengungkayah perkara-perkara berikut:-

- Untuk menjadi Ahli Bersekutu (Affiliation) dengan Borneo Amateur Radio Club (BARC) di mana nanti keahlian Gemilang RADIO di iktiraf sebagai satu “entity” yang membolehkan ahli mendapatkan faedah di BARC.

- BORNEO GRAND EYEBALL yang mana tuan rumah dicadangkan untuk di gilir di antara Sabah, Sarawak dan Brunei (Kalimantan jika berminat).

- Membina Rumah Kelab (Club House) Gemilang RADIO dengan Callsignnya tersendiri.

- Mengembalikan dan mempromosikan kembali minat ahli / station Radio Amatur dengan aktiviti yang memberangsangkan dan di minati.
Tiada catatan.
Tiada catatan.